Saturday, September 17, 2011

Doktor..saya tak nak meninggal...



Rutin saya seperti biasa pada pagi hari jumaat, kami akan buat 'grand round' bersama sama dengan ketua jabatan,pakar, pegawai perubatan, staff yang terdiri daripada ketua jururawat, jururawat dan penolong pegawai perubatan dan juga pelaajr-pelajar perubatan. Kami akan pergi daripada satu katil ke satu katil pesakit untuk melihat dan berbincang tentang pesakit berkenaan sebelum pembedahan dan perkembangan pesakit yang telah menjalani pembedahan.

Alhamdulillah syukur yang amat tak terhingga kepada Allah s.w.t kerana semua pesakit yang dibedah oleh pasukan kami, yang juga melibatkan tangan saya menunjukkan pemulihan yang positif, tiada 'wound brakedown' (masalah luka selepas pembedahan yang dijangkiti kuman). Ini menjadikan saya merasa sungguh gembira dan berjanji untuk bekerja dengan lebih baik lagi kerana Allah ta'ala. Alahmdulillah, dengan keadaan pesakit yang terkawal, dapatlah saya pergi masjid lebih awal untuk solat jumaat. Selepas solat jumaat, dapat pula memenuhi jemputan jamuan hari raya di jabatan lain dan kemudian untuk hari-hari yang tidak sibuk, dapatlah balik jam 5 petang seperti orang lain, dapatlah saya berehat dirumah setelah seharian bekerja di hospital getus saya didalam hati. Ternyata hari ini adalah hari yang penuh dengan rasa syukur.

Namun, hari berkenaan tidak berakhir dengan begitu sahaja. Setibanya di rumah, pager saya bergegar, seiring dengan telefon saya. Ternyata panggilan dari hospital, menyatakan ada kes kecemasan daripada CRW (cardiac rehablitation ward). Minggu berkenaan saya merupakan 1st 'oncall'. Seawal ini mereka memanggil saya, sudah tentu ini bukan kes biasa. Kesnya ialah seorang perempuan Melayu Islam, berumur 22 tahun yang mengalami ketumbuhan pada dadanya. Kes ini menjadi kritikal apabila ketumbuhan itu sudah terlalu besar sehingga tekanannya mengakibatkan air terkumpul pada kantung jantung.

Jantung kita mempunyai karung @ kantung yang dipanggil 'Pericardium'.Pada manusia normal, disitu memang terdapat sedikit cecair(sangat-sangat sedikit) yang bertindak sebagai pelincir supaya jantung dapat berdegup dengan lancar didalam karung tersebut. Oleh yang demikian mereka yang mengalami lebihan air di pericardium dipanggil sebagai 'pericardial effussion'.

Masalah yang berlaku ialah apabila air yang terkumpul didalam karung jantung pesakit muda ini terlampau banyak, lebih sepuluh kali ganda daripada manusia normal. Maka setelah saya mendapat sedikit sebanyak berkenaan pesakit ini(sekadar untuk tahu betapa kritikalnya kes berkenaan), saya terus menunaikan solat asar, menghidupkan enjin kereta dan terus memecut ke hospital yang jarak antara rumah ke hospital dalam linkungan hanya 5km. Habis semua lampu merah saya langgar,lampu kecemasan dihidupkan dengan harapan supaya kereta lain memberi laluan. Alhamdulillah semua kereta ternyata memberi lalaun, seolah-olah faham akan keadaan saya. Sesampai sahaja di hospital, saya terus berlari ke dewan bedah. Masa dirasakan semakin suntuk, amanah Allah dan juga fator nyawa manusia memaksa saya berlari bersungguh-sungguh, bukan sekadar berlari anak.

Ini kerana jantung, apabila air terlampau banyak terkumpul dalam 'pericardium', jantung seolah-olah kelemasan didalam kolam. Bayangkan kita berenang dikolam atau pun laut, berapa lamakah kita boleh bertahan? Begitu juga dengan jantung, dan komplikasinya sangat besar sehingga pesakit boleh mati...itulah yang bermain didalam fikiran saya sejak menerima panggilan tadi.

Alhamdulillah saya sampai didewan bedah tepat pada waktunya dan kebetulan pesakit baru sahaja ditolak masuk ke dalam bilik pembedahan. Situasi memang amat sibuk dengan pakar bius bertungkus lumus memasang 'line' bagi tujuan memasukkan ubatan bius terus ke saluran darah. Dan kami, (pasukan pembedahan) berbincang bagaimanakah cara dan kaedah yang terbaik yang akan diguna pakai untuk melakukan pembedahan berdasarkan laporan hitam putim yangg kami terima. Satu kaedah telah di muktamadkan. Open chest!(belah dada), dan buat pericardial window (satu lubang bersama tiub supaya lebihan cecair yang berada dalam karung jantung boleh keluar).

Setelah pasukan bius siap memasang 'line', kami terpaksa menunggu untuk 5 minit lagi sebelum pesakit dibius(ditidurkan). Ini kerana kami terpaksa menunggu darah 'back up' untuk pesakit ini yang mengambil masa sehingga 5 minit untuk tiba. Pada masa itu pesakit masih sedar lagi. Ketika itulah pesakit berkenaan bersuara dan berkata dengan amat lemah sekali, penuh pengharapan yg amat sangat........
"doktor, saya tak nak meninggal"...............................

Kami semua terkejut. Kami memandang antara satu sama lain. Pakar saya yang mengetuai pembedahan ini lantas berkata.. "jangan risau, insyaALLAH kami akan buat yang terbaik..."

Ok, darah dah sampai! pakar bius lantas memberi isyarat untuk mula membius pesakit. Kami menyuruh supaya pesakit berselawat dan mengucap kalimah syahadah. Maka....setelah pesakit ditidurkan melalui bius, tiba-tiba pakar bius menjeret "WE CANNOT BAGGING THE LUNG"....(maksudnya, paru-paru pesakit tidak boleh kembang akibat daripada ketumbuhan yang menekan saluran pernafasan yang utama. Secara klinikalnya, apabila paru-paru tak kembang, paru-paru tidak boleh menyerap oksigen, dan apabila oksigen tak dapat, otak manusia hanya boleh bertahan selama 4 minit sahaja, lebih daripada itu, sel otak akan mati)



SubhanAllah, pada masa tu, Allah sahaja yang tahu betapa terkejutnya kami..hati saya dah mula terasa tidak sedap dan secara jujurnya hati saya mula menangis..
Dengan sepantas kilat, kami terus memulakan proses membelah dada pesakit berkenaan supaya kami dapat membuka ruang salur pernafasan utama yangg tersekat oleh ketumbuhan yang besar. Semasa proses membelah tu, darah tidak behenti-henti keluar dan memancut kerana kami hanya menggunakan pisau (blade).(biase kami guna pisau elektrik, supaya tissu yang terdapat salur darah halus @ besar yang terpotong dapat dibakar, dan seterusnya memberhentikan pendarahan) kami tidak menggunakan pisau elektrik kerana kami tiada masa. kami cuma ada 4 minit sahaja!

Keadaan pada masa tu amatlah genting, pakar saya bagaikan bersilat gayanya. 3 minit 45 saat kemudian, kami berjaya 'open chest' dan paru-paru pesakit mula kembang dan berfungsi sepertt biasa.. Alhamdulillah.. dari raut wajah semua menunjukan kelegaan walaupun operasi utama pembedahan sebenarnya masih belum berjalan(pericardial window). Maka selesailah satu masalah yang tak terjangka oleh kami semua.

Seterusnya, kami pun memulakan proses membuat 'pericardial window', memasang tiub dan akhir sekali 'close chest'. Pembedahan hanya selesai tepat jam 8.40 malam.

Pesakit kemudiannya ditolak keluar untuk dihantar ke ICU. Semasa dalam perjalanan kesana, sekali lagi ketumbuhan tersebut telah menekan saluran darah yang menyebabkan jantung turut terhenti..Kali ini kami tidak dapat berbuat apa-apa..

Akhirnya pesakit itu pun pergi buat selama-lamanya..Ternyata Allah lebih menyanyanginya..

Esok.. genap seminggu arwah pergi, walaupun saya tidak mengenalinya, tetapi dia tetap pesakit saya..saya telah melatih diri saya untuk mengangap setiap pesakit bagaikan saudara saya agar saya sentiasa memberi yang terbaik untuk mereka...dan saya masih teringat kata-kata terakhirnya..

"doktor, sy tak nak meninggal"........


'saya' dalam watak diatas merupakan seorang Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas di Jabatan Pembedahan Jantung dan Paru-paru Hospital Pulau Pinang.

Rencana ini adalah sebahagian rencana yang menyertai untuk diterbitkan dalam buku Inspirasi dan Motivasi untuk Rakyat Malaysia. Jika anda mempunyai cerita-cerita tentang perjuangan rakyat Malaysia, yang memberikan inspirasi kepada orang lain sila emailkan kepada mofibio@gmail.com.

Cerita pendek hendaklah asli. Mengandungi 800-1500 patah perkataan.Terbuka kepada anak muda dalam lingkungan 17-35 tahun. Contoh cerita seperti perjuang kemerdekaan yang ditulis oleh anda sendiri, tentang polis atau pegawai bomba yang bertungkus lumus menyelamatkan harta/orang awam dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment